Khamis, Mei 20, 2010

Komitmen Menyeluruh Pembestarian Sekolah



KUANTAN 16 Mei – Guru, pelajar, pentadbir sekolah dan ibu bapa merupakan golongan sasaran yang perlu diberikan kesedaran tentang pentingnya penggunaan ICT di sekolah jika mahu melihat Program Sekolah Bestari berjalan dengan jayanya.

Pengurus kanan Jabatan Sekolah Bestari, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MdeC), Dr. Norizzan Razali berkata, empat kumpulan sasaran ini mempunyai peranan masing-masing yang saling berkait antara satu sama lain.

Beliau yang ditemui di Festival Hari Guru 2010 di sini baru-baru ini berkata, penglibatan ibu bapa amat penting kerana golongan ini mempunyai pengaruh yang besar terhadap pentadbir sekolah dalam merangka program pembelajaran di sekolah.

Tambahnya, jika ibu bapa menyuarakan kehendak mereka kepada pentadbir sekolah tentang perlunya penggunaan ICT dalam pembelajaran anak-anak, maka pihak sekolah khususnya guru-guru akan mengambil berat tentang keperluan tersebut dan menjayakannya dengan bersungguh-sungguh.

Hal ini amat penting kerana berdasarkan pengamatan beliau, wujud tanggapan dalam kalangan segelintir guru bahawa penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sesuatu yang membebankan.

Menurut Norizzan, penggunaan ICT dalam proses P&P tidak sepatutnya dijadikan sesuatu yang dinegatif oleh guru sebaliknya digunakan untuk meningkatkan profesionalisme mereka.

Bagi membetulkan masalah “modal insan’’ ini, MDEC dan Kementerian Pelajaran merangka program jelajah atau “roadshow’’ di seluruh negara yang merangkumi enam zon.

Pameran yang dianjurkan oleh MDEC sempena Festival Hari Guru 2010 merupakan antara program jelajah bagi Zon Timur.

Dalam pameran tersebut, beberapa buah syarikat pembangunan perisian kandungan di bawah MDEC mempamerkan produk-produk pembelajaran yang canggih dan berinovasi kepara para pengunjung.

Antara syarikat yang terlibat termasuklah Kiddie World Multimedia Sdn. Bhd yang membangunkan portal pendidikan kanak-kanak prasekolah dan sekolah rendah.

0 comments:

Catat Ulasan